Wednesday, December 14, 2022

KECELARUAN BAHASA

 

KECELARUAN BAHASA

            Kecelaruan bahasa juga dikenali sebagai disleksia. Jadi, apakah itu disleksia? Disleksia bermaksud kecelaruan bahasa yang berlaku dalam kalangan individu untuk menguasai kemahiran membaca, menulis atau mengira (Noor Aida Dani, 2017). Kanak-kanak yang mempunyai masalah disleksia kebiasaannya mempunyai masalah untuk menguasai pelajaran di sekolah walaupun mereka telah mencuba dengan sedaya upaya mereka. Hal ini berlaku kerana otak mereka mempunyai masalah untuk membuat perbezaan dan mengaitkan simbol visual dengan bunyi misalnya, mereka mempunyai kesukaran untuk membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira.

            Disleksia bukanlah sejenis penyakit tetapi ia hanyalah satu gangguan dalam proses pembelajaran ketika peringkat kanak-kanak sahaja. Menurut (Nourul Haida, 2013), disleksia secara umumnya merupakan kesukaran pembelajaran yang mempengaruhi pembacaan, penulisan dan penumpuan sehingga membuatkan golongan ini sukar untuk belajar semudah orang lain. Setakat ini, tiada lagi cara untuk atau rawatan yang boleh digunakan untuk merawat atau menangani masalah disleksia dalam kalangan kanak-kanak ini. Namun, disebabkan oleh peredaran zaman, terdapat kemajuan dalm bidang radiologi. Dengan penggunaan imbasan magnet atau MRI iaitu sebuah alat yang khusus untuk mengimbas otak, kita dapat mengimbas dan membandingkan antara otak individu yang normal dengan individu yang mempunyai masalah disleksia.

PERBEZAAN ANTARA OTAK INDIVIDU NORMAL DENGAN OTAK INDIVIDU DISLEKSIA


Disleksia terbahagi kepada beberapa ciri iaitu:

1.     Lambat bertutur

2.     Mengalami kesukaran sebutan atau rima

3.     Sukar menulis nama sendiri

4.     Sukar mengenal bentuk atau warna

5.     Sukar memberitahu cerita yang telah didengar

Kanak-kanak yang mengalami disleksia juga mempunyai beberapa kelemahan iaitu:

1.     Kanak-kanak yang mengalami disleksia ini gagal melakukan tugasan sekolah seperti menulis, mebaca, dan mengira.

2.     Mereka juga tidak tahu untuk membezakan huruf yang hampir sama seperti huruf b, d dan p.

3.     Mereka tidak tahu untuk mengikat tali kasut atau tali leher.

4.     Mereka menulis dalam keadaan terbalik dan menyebabkan orang sukar memahami apa yang yang mereka tulis.

5.     Mereka juga cepat lupa apa yang diajar oleh guru semasa di dalam kelas dan menyebabkan mereka melakukan kesalahan yang sama berulang kali.

6.     Pakaian yang dipakai sentiasa bersih tetapi tidak kemas dan butang baju sentiasa salah kedudukannya.

7.     Sukar membezakan kedudukan kiri dan kanan.




    Persoalan yang sering diutarakan oleh ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami masalah disleksia ialah “Adakah orang yang mengalami disleksia mampu berjaya?”. Walaupun tidak ramai yang tahu bahawa segelintir tokoh-tokoh ternama yang sering disebut-sebut oleh masyarakat juga mempunyai masalah disleksia. Antara tokoh yang mempunyai masalah disleksia ialah Leonardo Da Vinci, Albert Einstein, Tom Cruise dan Bill Gates.

             


Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya disleksia:

1.Keturunan

Masalah dileksia telah sedia ada dalam gen keluarga kanak-kanak disleksia. Kajian perubatan di Barat mendapati bahawa kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan. Disleksia juga cenderung berlaku bagi individu yang kidal. 

2. Pemakanan

Secara amnya, pemakanan sememangnya penting untuk mendapat pertumbuhan yang normal. Pemakanan yang cukup dan seimbang mestilah dapat membekalkan kalori yang mencukupi dan mempunyai bahan-bahan makanan yang tertentu iaitu protein, vitamin, zat galian dan sebagainya. Bekalan zat-zat yang mencukupi bergantung kepada fasa pertumbuhan kanak-kanak itu sendiri. Sekiranya kanak-kanak tidak mendapat zat-zat yang mencukupi, pertumbuhan kanak-kanak akan terencat. Selain itu, terdapat juga makanan yang mempunyai bahan-bahan pengawet yang akan mengganggu otak jika diambil secara berlebihan dalam tempoh yang lama terutama kepada kanak-kanak yang sedang dalam fasa pertumbuhan. Antaranya ialah monosodium glutamate (MSG).

3. Bawaan

Sesetengah kanak-kanak berkemungkinan boleh mendapat masalah pendengaran sejak lahir lagi. Dalam tempoh lima tahun sejak dilahirkan, sekiranya kanak-kanak sering mengalami selsema dan jangkitan pada bahagian tengkorak, ia boleh menyebabkan masalah pendengaran terganggu. Sekiranya dibiarkan masalah ini akan menyebabkan gangguan kepada proses pertumbuhan kanak-kanak itu sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana, kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran akan sukar menghubungkan atau memproses bunyi atau suara yang didengarnya dengan huruf atau kata yang dilihatnya.

4. Biologi

Kanak-kanak berkemungkinan mendapat disleksia kerana dilahirkan tidak cukup bulan. Namun ada juga yang berlaku berpunca daripada kerosakan pada sebahagian otak yang menyebabklan kanak-kanak ini mengalami masalah disleksia. Kerosakan pada bahagian otak mungkin terjadi semasa di dalam kandungan ibu mereka lagi. Kerosakan pada bahagian otak yang disebut berkemungkinan pada saraf di bahagian kiri otak mereka.

Ciri-ciri penghidap disleksia ini boleh dibahagikan kepada empat peringkat iaitu peringkat prasekolah, sekolah rendah,sekolah menengah dan dewasa.

1.Peringkat Prasekolah

Disleksia ini selalunya dapat dikesan sejak di peringkat awa persekolahan lagi. Kanak-kanak disleksia mengalami masalah pertuturan. Keadaan ini menyebabkan mereka lambat bertutur. Contohnya, apabila diminta untuk menyebut perkataan ‘pelbagai’, mereka akan menyebut ‘pelgabai’. Hal ini kerana mereka sangt gemar menukar perkataan semasa bercakap dan mereka juga tidak suka duduk diam.

2. Peringkat Sekolah Rendah

Disgrafia merupakan kesulitan dalam menghasilkan tulisan tangan yang cantik. Disgrafia ini dapat dikesan apabila murid ketinggalan dalam pelajaran. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka sukar untuk meniru tulisan dari papan putih atau buku dan menyebabkan tulisan mereka salah. Kanak-kanak disleksia juga cenderung untuk menulis secara terbalik. Sebagai contohnya, perkataan ‘was’ menjadi ‘saw’ dan juga tidak dapat membezakan huruf iaitu ‘b’ dan ‘d’.

3. Peringkat Sekolah Menengah

Penghidap disleksia pada tahap ini sama seperti keadaan di peringkat prasekolah dan sekolah rendah. Namun ada sedikit pertambahan iaitu mereka mengalami masalah dalam mempelajari perbendahraan kata. Perkara ini sangat jelas dalam penulisan karangan. Penguasaan bahasa kedua di sekolah menengah juga agak lambat kerana penguasaan bahasa pertama mereka juga masih banyak ketinggalan daripada pelajar lain.

4. Peringkat Dewasa

Ciri-ciri mereka pada tahap ini masih sama seperti di peringkat sebelumnya. Mereka masih belum membaca dengan lancar dan perlu membaca satu halaman buku sebanyak dua atau tiga kali sebelum dapat memahami apa yang hendak disampaikan berbeza dengan individu normal yang hanya perlu membaca sekali sahaja. Mereka juga masih mempunyai masalah dalam menentukan arah dan boleh menyebabkan sesat walaupun itu adalah laluan ke rumah sendiri. 

BIBLIOGRAFI

Noor Aida Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norul Haida bt. Hj Reduzan. Ilmu Psikolinguistik (2013) Perak. Emeritus Publications.

No comments:

Post a Comment

KECELARUAN BAHASA

  KECELARUAN BAHASA             Kecelaruan bahasa juga dikenali sebagai disleksia. Jadi, apakah itu disleksia? Disleksia bermaksud kecel...